Pembunuhan Kejam di ambang Aidilfitri
KUALA LUMPUR: Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, selesai dan semua suspek dijangka didakwa minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan setakat ini.
Sambil memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Bakri Zinin dan Timbalan JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah atas kejayaan pasukan itu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang cepat, Ismail bagaimanapun berkata, ini bukan bermakna siasatan sudah dihentikan.
“Pasukan itu masih meneruskan siasatan di lokasi kejadian di Banting dan mencari bukti berhubung kes berkenaan. Pasukan itu juga sedang mengumpul maklumat mengenai beberapa kes kehilangan lain yang dikaitkan dengan suspek sama,” katanya dalam sesi diskusi dengan pengarang kanan media di Bukit Aman, semalam.
Ini adalah pertemuan pertama Ismail dengan pengarang kanan media selepas mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara pada 12 September lalu. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Hussin Ismail dan Mohd Bakri.
Kes pembunuhan Sosilawati, 47; serta pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, terbongkar berikutan penahanan lapan suspek dua hari selepas menerima laporan isteri seorang ahli perniagaan warga India yang sebelum ini turut dilaporkan hilang selepas berurusan dengan peguam bergelar Datuk itu.
Sosilawati dan tiga individu itu yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, Banting sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau. Mereka dipercayai dibunuh kira-kira 10 malam, 30 Ogos, iaitu pada hari sama mereka dilaporkan menemui Datuk itu.
Setakat ini, polis menahan lapan orang bagi membantu siasatan kes itu, termasuk Datuk terbabit dan adiknya, juga seorang peguam. Semua suspek yang ditahan pada 10, 11 dan 12 September lalu direman sehingga Sabtu ini.
Polis dikatakan akan meminta lanjutan tempoh reman untuk membolehkan pendakwaan dibuat akhir minggu depan.
Mohd Bakri berkata, polis menubuhkan dua pasukan petugas khas, iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu yang bersamanya, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang dikaitkan dengan suspek sama.
Ditanya mengapa banyak laporan orang hilang yang dibuat sebelum ini tidak disiasat, Ismail yang mengaku turut menerima banyak pertanyaan mengenainya, berkata beliau akan memastikan semua aduan orang hilang disiasat secara serius.
“Jika pegawai atau anggota saya didapati tidak memandang serius kes orang hilang, saya akan pastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya.
PARIS: Senat Perancis meluluskan rang undang-undang pengharaman memakai purdah di kawasan awam dan tempat lain, keputusan yang membabitkan kurang 2,000 wanita Islam, tetapi dilihat sebagai simbol mempertahankan nilai dan budaya tempatan.
Rang undang-undang diluluskan dengan 246 menyokong dan satu menentang, langkah terakhir sebelum pengharaman itu diluluskan sebagai undang-undang. Rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat, Julai lalu.
Ia bakal menjadikan pemakaian purdah suatu kesalahan, termasuk yang dipakai pelancong di kawasan awam dan tempat lain.
Rang undang-undang pengharaman itu menetapkan denda AS$185 (RM582) bagi wanita yang memakai penutup muka.
Denda juga dikenakan kepada orang yang didapati memaksa wanita memakai purdah, manakala denda AS$38,000 (RM121,600) dan penjara setahun dikenakan jika wanita dipaksa memakai purdah di bawah umur.
Bagi umat Islam undang-undang itu adalah satu lagi tamparan kepada agama kedua terbesar di Perancis dan meningkatkan risiko Islamofobia di negara yang mana masjid dan rumah ibadat lain sering menjadi sasaran kebencian.
Tetapi, ada wanita termasuk Kenza Drider berikrar terus memakai penutup muka, walaupun ia diharamkan dan menegaskan beliau lebih rela didenda daripada tunduk kepada ketidakadilan.
“Ini tidak adil dan melanggar kebebasan beragama. Saya akan terus pakai purdah,” katanya. Beliau adalah wanita tunggal berpurdah ditemuramah jawatankuasa Parlimen yang mengambil masa enam bulan sebelum meneruskan langkah meluluskan undang-undang itu. – AP
Gereja kecil Florida sedia batal bakar al-Quran
Paderi akan akur jika Obama meminta tak terus rancangan
GAINSEVILLE: Seorang paderi Florida yang mengundang kecaman dunia kerana merancang membakar beratus al-Quran esok, berkata beliau mungkin membatalkan hasratnya itu jika Presiden Amerika Syarikat Barack Obama meminta beliau untuk tidak melakukannya.
Terry Jones, Ketua Dove World Outreach Center, memberitahu akhbar USA Today setakat ini beliau belum dihubungi Rumah Putih berhubung rancangannya membakar kita suci Islam itu sempena menandakan ulang tahun kesembilan serangan pengganas 11 September.
“Jika Obama meminta kami membatalkannya sudah semesti kami akan menimbangkannya. Saya tidak akan dapat mengabaikan panggilan dari Rumah Putih,” katanya.
Obama semalam memberi amaran tindakan membakar al-Quran akan hanya menguntungkan kumpulan pengganas Al-Qaeda yang didakwa melancarkan serangan terhadap AS pada 2001 itu yang membunuh hampir 3,000 orang.
“Anda tahu, tindakan berkenaan akan mencetuskan keganasan serius di tempat seperti Pakistan atau Afghanistan,” Obama memberita rangkaian televisyen ABC.
Walaupun pelbagai kritikan diterima daripada pegawai tertinggi Amerika Syarikat, tentera, Vatican dan pemimpin agama lain, gereja terbabit sebelum ini menyatakan ia tetap enggan menangguhkan rancangan membakar al-Quran itu.
Jones memberitahu satu sidang media kelmarin gereja beliau menerima banyak mesej yang menyokong tindakan itu.
Jones menjelaskan beliau sudah berdoa untuk mendapatkan panduan sama ada meneruskan acara itu selepas amaran dari komander Amerika Syarikat di Afghanistan, Jeneral David Petraeus bahawa Amerika Syarikat dan tentera sekutu akan menjadi sasaran balas dendam.
“Kami faham mengenai kebimbangan jeneral terbabit dan kami masih lagi mempertimbangkan mengenainya,” kata Jones tetapi berkata beliau dihubungi seorang askar pasukan khas yang memberitahu beliau bahawa ‘mereka di medan perang 100 peratus di belakang kami.”
Paderi yang pernah menerima ancaman bunuh itu berkata acara selama tiga jam esok itu bertujuan menghantar mesej kepada kumpulan radikal Islam bahawa mereka perlu mematuhi perlembagaan Amerika Syarikat.
“Pembakaran al-Quran ini adalah untuk menarik perhatian bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Dan ia adalah masa yang sesuai untuk kami dalam satu cara baru untuk bangkit dan menentang keganasan,” katanya.
Rancangan membakar sejumlah 200 al-Quran yang kebanyakan didermakan kepada gereja dibuat menyusuli satu perdebatan yang membangkitkan kemarahan mengenai rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di New York berhampiran dengan tapak bekas Pusat Dagangan Dunia.
Ramai bimbang jika al-Quran dibakar ia akan membangkitkan lagi sentimen antiIslam. – AFP
sumber: Berita Harian