Ketahuilah - semoga Allah membimbing kami dan anda – bahawa wajib ke atas setiap mukallaf untuk mengetahui bahawa Allah azza wa jalla itu esa pada kerajaanNYa, Dia mencipta alam dengan kekuatanNya, iaitu alam alawi (alam atas), alam sufli (alam bawah), Arasy, Kursi, segala langit, bumi , sesuatu yang ada di langit dan bumi, sesuatu yang ada di antara di langit dan bumi. Semua makhluk itu dikuasai dengan kekuasaanNya, tiada suatu zarah pun dapat bergerak melainkan dengan izinNya, tiada suatu yang mentadbir bersamaNya pada penciptaan dan tiada suatu sekutu pada kekuasaan. Dia Yang Maha tidak memerlukan selainNya lagi tidak terkena rasa mengantuk dan tidak juga tidur, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata, tiada suatu pun yang ada di langit dan tiada juga yang di bumi tersembunyi daripadaNya, Dia mengetahui sesuatu di daratan dan di lautan, Tiada suatu daun pun yang jatuh melainkan Dia mengetahuinya, tiada suatu benih pun yang dalam kegelapan malam dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan ada dalam suatu catatan yang nyata.
Dia meliputi segala sesuatu dengan ilmu dan menghitung bilangan segala sesuatu, yang melakukan apa yang Dia kehendak dan berkuasa di atas apa yang Dia mahu, Dia memiliki kekuasaan dan memiliki kekayaan, Dia memiliki kemuliaan dan bekekalan, Dia memiliki hukum dan keputusan, Dia memiliki nama-nama yang sangat indah, tiada suatu yang dapat menolak pun bagi perkara yang telah Dia beri keputusan dan tiada suatu yang dapat menegah bagi perkara yang telah Dia beri, Dia melakukan dalam kekuasaanNya perkara yang Dia mahu dan Dia menghukum makhlukNya dengan perkara yang Dia kehendak. Dia tidak mengharapkan ganjaran dan tidak bimbang kepada seksaan, tiada suatu hak pun (yang diwajibkan) ke atas Nya dan tiada suatu hukuman pu ke atasNya, setiap nikmat daripadaNya adalah suatu kelebihan dan setiap balasan seksaan daripadaNya adalah suatu keadilan, Dia tidak akan ditanya tentang apa yang Dia perbuat dan merekalah(makhluk) yang akan ditanya.
Dia wujud sebelum penciptaan, tiada bagiNya sebelum dan selepas, tiada juga arah atas dan tiada arah bawah, tiada arah kanan dan tiada arah kiri, tiada arah hadapan dan tiada arah belakang, tiada semua dan tiada sebahagian, tidak boleh ditanya bilakah Dia ada, juga tidak boleh ditanya dimanakah Dia berada dan tidak boleh ditanya bagaimana, Dia ada (azali) dan suatu tempat pun tidak ada, Dia mengadakan segala alam dan mentadbir masa, Dia tidak berkait dengan masa dan tidak dikhususkan dengan tempat, tidak dilekakan oleh suatu hal dengan suatu hal, Dia tidak ditemui oleh suatu sangkaan dan tidak dilingkungi oleh suatu akal, tidak dikhususkan dengan sifat akal, tidak terupa dalam diri seseorang, tidak boleh digambarkan dalam sangkaan, tidak dibagaimanakan dalam akal dan tidak boleh ditemui oleh segala sangkaan dan fikiran, Firman Allah, “Tiada suatu pun yang sama sepertiNya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah As-Syura:11)
No comments:
Post a Comment