Oleh: Muhammad Safwan bin Ishak
PENGENALAN
Sedasarwarsa ini, suatu perkembangan yang tidak dijangka di dalam dunia sains, teknologi dan inovasi ialah telihatnya kerapatan pandangan atau persefahaman pendapat yang menakjubkan di antara konsep-konsep yang objektik dan rasional di dalam dunia sains dengan konsep-konsep keagamaan. Perkembangan ini sememangnya diingini oleh sekalian manusia walaupun ada sesetengah yang merasa kehairanan dan kerisauan apabila pertembungan dua daya budaya yang terbesar di dalam kehidupan manusia ini kononnya telah berzaman-zaman bercanggah di antara satu sama lain. Kebrontakkan ini menyebabkan manusia lemah dan lalai dengan kehidupan yang meronakan. Hidup tanpa agama, halatuju yang mengutamakan hukum akal semata-mata tanpa menyulusuri hukum-hukum agama yang telah digariskan menyebabkan manusia semakin rakus menganyang keharmonian dan kedamaian alam sejagat bersenjatakan sains, teknologi dan inovasi.
Mendasari persefahaman pendapat ini ialah aktiviti saling bantu-membantu di antara fakta-fakta saintifik yang termuktakhir serta interpretasi ajaran agama mengenai realiti, umpamanya mengenai jirim dan tenaga, ruang dan masa. Akibatnya ialah sains kini telah terpaksa meninggalkan prasangka dan keangkuhannya tidak mahu menerima kewujudan perkara-perkara ghaib yang bukan fizikal,khususnya kebenaran-kebenaran agama. Kita dapat lihat mesej ini di dalam penulisan saintis terkemuka sendiri seperti, David Bohm, Albert Einstein, Author Eddington dan lain-lain lagi.
“Science without religion is blind, Religion without science is lame”-Albert Enstein.
Pada masa yang sama, pengeinterprestasian ajaran agama dapat dimanfaatkan perkembangan dunia sains masa kini. Pemahaman konsep asas agama dapat disampaikan dan dihayati dengan lebih jelas. Justeru, pemahaman terhadap hubungkait antara agama dan sains dapat diperkemaskan. Supaya, pandangan-pandangan enteng dan jumud masyarakat yang mengatakan agama merupakan suatu yang jumud dan kolot lantas merencatkan proses perkembangan sains dan teknologi dapat dikikis. Selain itu, Sains juga dapat memperkukuhkan pegangan agama melalui pembuktian kewujudan yang metafizikal yang bersifat spiritual atau ghaib agar kepercayaan kepada agama dapat dijazamkan. Para saintis cuba mengkaji perkara-perkara ‘supernatural’ dan ‘paranormal’ ini sebagai satu pembuktian kepada agama. Misalnya, seperti kejadian makhluk halus, jin, kewujudan roh, kejadian manusia dan sebagainya.
Selain itu, agama juga menyuruh setiap penganutnya supaya menuntut ilmu. Di dalam Al-Quran, Surah al-Alaq, ayat pertama yang bermaksud, ‘Bacalah, dengan nama Tuhanmu yangmenciptakan. Ayat ini juga merupakan wahyu pertama yang disampaikan oleh Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad. Signifikasinya, ayat ini menyuruh umat manusia supaya membaca dalam erti kata lain, menuntut ilmu. Sambungannya, dalam menuntut ilmu, aspek ketuhanan yakni kepercayaan kepada tuhan yang menciptakan perlu diutamakan. Justeru, wujudlah interaksi antara kedua-duanya yakni sains dan agama sebagai satu formula sebatian untuk memacu kemajuan. Maka, kenyataan-kenyataan kontang yang menyatakan agama menyekat perkembangan sains dan teknologi adalah kenyatan yang tidak berasas sama sekali.
DEFINISI AGAMA, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Sebelum kita menyelemai lebih mendalam perspektif ini, aspek pendefinisian perlu agar kita memahami lebih mendalam topik ini agar kita tidak lari dari konteks yang sebenar. Pendefinisian agama, sains,teknologi dan inovasi merupakan tiang kerangka atau teras kepada mahallah ini.
Agama pada umumya ialah suatu system kepercayaan atau tata keimanan terhadap adanya sesuatu yang Mutlak di luar manusia. Agama juga suatu system ritual yakni tata peribadatan manusia kepada yang Mutlak atau suatu system norma yakni kaedah yang mengatur hubungan manusia dengan manusia dan alam lainnya, sesuai dan sejalan dengan tata keimanan dan tata peribadatan. Menurut Abdul Aziz bin Ismail Al-Fathani di dalam kitab Misbahul Munir, agama ialah suatu tuturan dan cakapan daripada sekumpulan dan perhimpunan undang-undang yang datang daripada Allah Taala ke atas rasulNya supaya menyampaikan kepada umat manusia.
Istilah sains berasal daripada perkataan Latin, ‘Sceantia’ yang bermaksud ilmu, atau ‘scire’ yang bermaksud mengetahui. Sains juga membawa maksud hasil usaha pemahaman manusia yang disusun dalam suatu system mengenai kenyataan, struktur, pembahagian dan hukum-hukum tentang hal ehwal yang diselidiki sejauh yang dapat dijangkau oleh pemikiran manusia yang dibantu panca indera yang kebenarannya diuji oleh empiris dan eksperimental. Menurut Professor Datin Dr Azizan Baharuddin, sains adalah pembelajaran tentang kejadian alam secara sistematik, logik dan berobjektif menggunakan kaedah yang tertentu supaya ilmu itu dipercayai.
Teknologi berasal daripada perkataan Latin,’technologia’dan daripada perkataan Greek,’tekhnologia bermaksud kehendak untuk melakukan sesuatu secara sistematik. Kata dasar teknologi berasal daripada perkataan Greek, ‘tekhne’ yang bermaksud seni atau kraf. Menurut Professor Datin Dr Azizzan Baharuddin, teknologi ialah, artifak atau perkakasan, sekumpulan maklumat atau kaedah teknikal yang digunakan untuk mempermudahkan kehidupan, dan aktiviti pembudayaan atau lapangan dalam kehidupan.
Perkataan Inovasi berhubungkait rapat dengan teknologi. Inovasi ialah langkah untuk mejadikan sesuatu benda itu berguna,atau proses pemgembangan yang boleh memobilasi pengetahuan atau pengalaman untuk mencipta dan memperbaiki proses, sistem danproduk yang baru yang member nilai yang lebih signifikan. Inovasi juga suatu objek yang bermaksud suatu produk atau praktikal baru yang boleh diaplikasi secara komersial. Menurut Rosenfeld, inovasi adalah tranformasi pengetahuan kepada produk, sistem dan jasa baru melalui tindakan melakukan sesuatu yang baru.
Tuntasnya, pendefinisian keempat-empat kalimah atau perkataan di atas memberikan gambaran yang utuh dalam menyelami hubungkait yang padu bagi mengelongsori topik ini. Sains tanpa teknologi kosong, teknologi tanpa inovasi lompong, namun ketiga-tiganya jika tanpa agama ibarat buta tanpa haluan.
HUBUNGAN ANTARA AGAMA DAN SAINS
Baik sains mahupun agama bertujuan berurusan dengan hal yang sama mencari kebenaran. Baik Sains hasilnya dari sumber akal manusia. Sedangkan agama bersumberkan wahyu dari Allah. Sains mencari kebenaran dengan jalan penyelidikan, pengalaman, dan percubaan sebagai ujian. Manusia mencari dan menemukan kebenaran melalui agam dengan jalan mempertanyakan pelbagai masalah asai dari kitab suci, kodofikasi firman Ilahi untukmanusia di bumi. Kebenaran sains adalah kebenaran positif dan bersifat relatif, sedangkan agama adalah kebenaran yang mutlak kerana diturunkan melalui wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Esa, Yang Maha Besar, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang iaitu Allah SWT. Sains dimulai dengan sikap sangsi dan tidak percaya, sedangkan agama dimulai dengan sikap percaya atau iman. Tidak semua persoalan atau masalah yang dipertanyakan manusia dapat dijawab oleh secara positif oleh sains kerana ia terbatas oleh subjeknya iaitu penyelidik dan objeknya, baik objek material mahupun objek formal atau oleh metodologi. Agama memberi jawapan tentang banyak soal asasi yang sama sekali tidak terjawab oleh sains. Akan tetapi, perlu kita tegas di sini bahawa tidak semua persoalan manusia terdapat jawapannya dalam agama dapat disebutkan sebagai berikut:
Pertama, soal-soal kecil, detail yang tidak prinsipal seperti jalan kenderaan sebelah kiri atau sebelah kanan, soal rambut panjang dan pendek, dan sebagainya. Kedua, persoalan-persoalan yang tidak secara jelas dan tegas tersurat dalam Al-Quran dan As-Sunnah, yang diserahkan kepada ijtihad yakni hasil daya pemikiran manusia yang tidak berlawanan dengan jiwa dan semangat Al-Quran dan As-Sunnah, yang oleh diijtihadkan oleh manusia yang berstatus mujtahid sahaja. Ketiga, persoalan yang tetap merupakan misteri, dikabuti oleh rahsia yang tidak terjangkau oleh akal budi dan fakulti-fakulti rohaniah manusia yang lainnya, yang merupakan Ilmu Allah yang tiada batasannya dan juga KebijaksanaanNya yang tidak dilimpahkan kepada manusia seperti hakikat roh,hakikat takdir, dan hakikat yang sebagainya.
Jika kita berbicara soalan keseimbangan, hakikat keimanan dan keseimbangan menjadi krisis utama dunia marcapada ini. Krisis-krisis merupakan transisi ketidak seimbangan di antara sains dan agama. Krisis tentang alam sekitar, ekonomi, pembangunan, spiritual, dan sebagainya berpunca daripada hasil kompartmentalisme yang menggila. Jadi hubungan antara sains dan agama usah dipisahkan. Hal ini kerana, talian yang utuh dan padu ini sememangnya tidak boleh diputuskan walaupun wujud banyak gunting-gunting sekularisme dan liberalisme yang dengki dengan pertalian ini. Sekularisme, danliberalisme, rakan seangkatannya, virus durjana yang menolak mentah-mentah hubungan ini. Sekular mahu memisahkan segala-segalanya daripada agama manakala liberal mahu bebas daripada agama.
Menurut Albert Einstein, “Science without religion is blind, Religion without science is lame” menunjukkan bahawa hubungan agama dan sains yang utuh. Selain itu, Syed Hossein Nasr berkata,“The environmental crisis is reflective of spiritual crisis faced by mankind” membuktikan nilai-nilai moral hanya boleh dibentuk melalui agama, tetapi sains hanya mampu membentuk ilmu sahaja. Justeru, hubungan antara agama dan sains sememangnya tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu, musnahlah lagu tanpa irama, pudarlah irama tanpa lagu.
AL-QURAN DAN SAINS
Bagi penganut-penganut agama Islam keserasisan di antara maklumat alam sains dengan wahyu digambarkan melalui Al-Quran dengan jelas sehingga ia begitu menakjubkan. Contoh-contoh berikut menyentuh bidang-bidang yang dikaji oleh sains sekaligus mengajar manusia tentang Tauhid,yakni mensucikan Allah SWT dengan segala sesuatu, ataupun fardhu ain.
Matahari dan bulan itu beredar dengan peraturan dan perhitungan yang tertentu, Surah Ar-Rahman ayat 5.
Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia daripada saripati daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air benih(nutfah) pada tempat penempatan yang kukuh. Kemudian Kami cipta air benih(nutfah) itu menjadi ‘alaghah’ lalu kami ciptakan ‘alaghah’ itu ‘mudghah’, kemudian Kami cipta ‘mudghah’ itu menjadi ‘izam yakni tulang, kemudian Kami balut ‘izam’(tulang-tulang) itu lahm(daging/otot). Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keaadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Surah Al-Mukminun ayat 12 hingga 14.
Sesungguhnya pada kejadiaan langit dan bumi pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda(kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Surah Ali Imran ayat 190.
Dan suatu tanda(kebesaran Allah) bagi mereka adalah malam, Kami tinggalkan siang hari dari(malam) itu, maka seketika itu mereka(berada dalam) kegelapan, dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikian ketetapan(Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui. Dan kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga(setelah ia sampai ketempat peredaran yang terakhir ) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua. TIdaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya. Surah Yaasiin ayat 37 hingga 40.
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan(muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yan diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkanNya bumi setelah mati(kering), dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi(semua itu) sungguh, merupakan tanda-tanda(kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti. Surah Al-Baqarah ayat 164.
Ayat-ayat berikut adalah segelintir daripada ayat-ayat Al-Quran yang membuktikan segala kejadian sains yang berlaku di muka bumi ini telah dicatat di dalam Al-Quran. Maka, Al-Quran sebenarnya adalah sumber primier dalam pengkajian Sains. Di dalam proses ini manusia perlu menggunakan akal dan fikiran. Al-Quran banyak sekali mengajak manusia supaya berfikir dan menggunakan akal, Zakaria AWang Soh misalnya menemui lebih 550 ayat. Penggunaan akal dan berfikir merupakan sesuatu yang perlu dan dituntut ke atas manusia kerana ia adalah caranya manusia dapat mengenal dirinya, alam dan Tuhan.
Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, aku jadikan kejadian (alam jagat dan segala ciptaan) supaya Aku dikenali. Hadith Qudsi
Dan makrifatullah atau mengenal Tuhan dengan sebenar-benarnya melalui tanda kewujudan ciptaanNya(yang menggambarkan kekuasaan dan sifat-sifatNya yang lain. Surah Al-Anbiyaa ayat 16 hingga 17.
Dan Kamitidak ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dengan bermain-main. Surah Ad-Dukhan ayat 38 dan 39.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati(tetapi) tidak mahu memahami dengannya(ayat-ayat Allah) dan mempunyai mata(tetapi) tidak mahu melihat dengannya(bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai. Surah Al-A’raaf ayat 179.
Terdapat satu surah dalam Al-Quran iaitu Surah Ar-Rahman yang mana intipati surah ini adalah mengajak manusia supaya menggunakan akal fikiran untuk mengkaji segala kehebatan dan keajaiban ciptaan Allah. Surah ini juga sebagai sumber inspirasi para ilmuwan-ilmuwan Islam untuk mengkaji dan mengembangkan skop pengkajian dalam bidang sains dan teknologi dengan lebih meluas. Hasilnya, kemajuan sains dan teknologi yang tiada tolok bandingan semasa Zaman Keemasan Islam pada abad ke-7 hingga ke-16 Masihi.
Jelaslah betapa Al-Quran member gambaran yang lengkap tentang alam duniawi dan ghaib. Dalam konterks Islam, melalui mekanisme teologi tabii dapat menjadi jambatan yang menghubungkan ahli sains dan para ulama. Tanpa jambatan ini pertemuan mengkin sukar untuk wujud. Jika keadaan ini yang seiring jalan ini tidak ada maka akan terjadi jurang yang luas di antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Maka wujudlah revolusi kompartmentalisme yang hebat yang menjadi virus ke lembah kedurjanaan.
TAMADAN ISLAM SEBAGAI CONTOH TAULADAN
Sejarah membuktikan peranan agama dalam pembentukan kemajuan sebuah tamadun. Kemajuan sebuah tamadun bertitik tolak dari kemajuan ilmu dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi itu sendiri walaupun pada tika itu, istilah ini belum dibibitkan oleh arus globalisasi ini. Hal ini membuktikan, agama bukanlah penghalang kemajuan sains dan teknologi. Sebagai bukti yang konkrit dan padu adalah sejarah kegemilangan tamadun Islam suatu tika dahulu. Kita akan menyingkap dengan lebih terperinci zaman kegemilangan tamadun ini.
Tamadun Islam merupakan tamadun yang palaing gemilang dan hebat dalam sejarah ketamadun dunia. Bagi sejarawan terkini, tamadun ini dikenali sebagai Zaman Keemasan Islam atau Islamic Renaissance. Tamadun ini bermula pada abad ke-7 Masihi hingga ke-16 Masihi. Bermula di Semananjung Arab oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pemerintah yang hebat sepanjang zaman. Berkembang di Semenanjung Arab dan semakin meluas hingga ke Parsi, Asia Tengah, Afrika Utara, dan semakin berkembang luas ke Eropah dan India. Merangkumi kawasan pemerintahan yang luas, pembentukan ini bukanlah hanya dilakukan hanya oleh masyarakat Arab malah dibantu oleh masyarakat Parsi, Afrika, Mongol, Eropah dan India. Hal ini kerana, bukan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku menjadi ukuran namun keimanan yang jitu dan sahih kepada Tuhan Yang Esa yakni beragama Islam.
Masyarakat bukan muslim tidak sesekali dihiraukan, dilayan dengan buruk,mahupun dipulau walaupun di bawah pemerintahan Islam yang bergelar khalifah. Tambahan pula, hak-hak mereka dipelihara dan dihormati asalkan tidak mengganggu ketenteraman agama lain. Mereka boleh kekal dengan agama dan bebas dengan kehidupan masing-masing selagi mana berada di bawah pemerintahan Islam. Sebagai bukti, kaum Yahudi, Nasrani dan Majusi bebas dan dilindungi hak mereka semasa pemerintah Islam.
Di dalam sejarah tamadun Islam, telah diperintah di bawah naungan beberapa buah khalifah. Bermula dengan Khulafah ar-Rasyiddin(632-661 Masihi), Kerajaan Bani Umayyah(661-750 Masihi), Kerajaan Abbasiyyah(750-1258 Masihi), Kerajaan Fatimiyyah(910-1171 Masihi), Kerajaan Sultan Salahuddin al-Ayubi(1174-1342 Masihi) dan Kerajaan Mamluk(1250-1517 Masihi). Pada zaman Keemasan Islam ini, terdapat ramai para cendekiawan dan alim ulama’ dalam pelbagai disiplin ilmu. Pengkajian mereka banyak menyumbang kepada revolusi epistemologi ilmu di dalam dunia Islam dan sains itu sendiri. Percambahan ilmu sains kepada beberapa skop bidang-bidang yang tertentu seperti, sains gunaan merujuk kepada pertanian, perubatan, geografi, dan kejuruteraan, sains rasmi merujuk kepada ilmu logic dan matematik, sains alam merujuk kepada biologi, kimia, fizik dan geologi,dan sains social merujuk kepada sosiologi, antropologi, dan psikologi. Ilmu falsafah juga berkembang pesat semasa zaman ini. Teknologi juga dibangunkan dan pelbagai jenis inovasi telah dihasilkan.
Perkembangan dan pembangunan ilmu yang pesat ini berpusat hanya pada satu dasar yakni kepada sumber Al-Quran dan As-Sunnah. Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan sebagai sumber rujukan yang paling utama dan penting dalam penstrukturan pembangunan mega ini. Berdasarkan kepada wahyu pertama kepada Nabi Muhammad yang merupakan ayat pertama di dalam Al-Quran iaitu ‘Iqra’. Pemahaman dan penghayati yang mantap dan padu kepada ayat ini merupakan kunci utama kejayaan zaman keemasan ini. Iqra yang bermaksud bacalah. Signifikasi bahawa Allah SWT memerintahkan kepada sekalian manusia supaya membaca atau lebih tepat menuntut ilmu. Jika kita amati dengan lebih mendalam suruhan ini juga menyuruh agar manusia memajukan diri dan masyarakat dalam apa jua bidang dengan berlandaskan penguasaan terhadap ilmu. Membuktikan bahawa agama tidak pernah menyekat penganutnya untuk maju. Selain itu, para cendekiawan pada zaman ini seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Al-Haytham, Al-Ghazali,Jabir Hayyan dan ramai lagi, merupakan ulama yang pakar dalam bidang agama sebelum pakar dalam bidang masing-masing.
TAMADUN INDIA DAN TAMADUN CHINA
Beralih kepada Tamadun China dan Tamadun India. Elemen kemajuan kedua-dua tamadun ini juga adalah agama. Tamadun India bermula di Sungai Indus meliputi Pakistan, India, dan sebahagian Afghanistan, Iran dan Turkmenistan. Tamadun ini juga dikenali sebagai Tamadun Lembah Indus, Tamadun Indus Ghaggar-Hakra, Tamadun Indus- Sarasvati, dan Tamadun Harappan. Tamadun ini sangat berpengaruh dalam bidang perubatan, matematik dan teknologi. Kebanyakkan daripada hasil kemajuan tamadun ini mempunyai ciri-ciri agama Hindu yang tinggi. Misalnya, banyak hasil karya penulisan kitab dan manuskrip dalam pelbagai bidang dinamakan berdasarkan pengaruh agama hindu seperti Ayurveda, Yoga, Brahma dan lain-lain.
Tamadun China merupakan tamadun paling awal dalam sejarah tamadun manusia. Kawasan meliputi kawasan pergunungan di sebelah barat hingga ke kawasan tanah rata di sebelah timur. Tamadun ini berkembangan bermula daripada bidang falsafah. Pada zaman ini, banyak sekolah-sekolah pemikiran telah dibina. Hasilnya, Tamadun China sangat agung dengan karya-karya falsafah mereka sehinggakan fahaman falsafah ini telah berjaya ditransformasi kepada fahaman agama. Misalnya, Confusius, Daoism, Mohism dan Legalism. Era ini dikenali sebagai Zaman Emas Falsafah China. Hasilnya, perkembangan sains dan teknologi juga berkembang pesat sejajar dengan suruhan dan ajaran yang dibawa di dalam agama hasil daripada transformasi falsafah ini. Semuanya berpaksikan kepada agama. Banyak hasil-hasil inovasi telah dihasilkan seperti kertas, bunga api, teknik percetakan, layang-layang, serbuk peledak dan banyak lagi. Segenap bidang, perubatan mahupun matematik, Tamadun China merupak pelopor utama dalam perkembangan sains dan teknologi.
SAINS DAN AGAMA MASA KINI
Lebih seribu tahun yang lalu, agama telah membolehkan sarjana-sarjana mengasaskan sains moden, Di tangan orang-orang agam sendiri sains telah membuahkan hasil teknologi yang berharmoni dengan alam sekitar dan kecemerlangan tamadun manusia telah terserlah dengan gah sekali. Sehingga hari ini, kita boleh melihat monumen-monumen, bangunan-bangunan, dan kota-kota yang pelbagai hasil daripada kehebatan tamadun manusia ini.
Kemudian, sains telah diambil alih oleh dunia barat dan dikembangkan serta digunakan tanpa asas-asas akidah dan agama yang bermatlamatkan tuhan. Kebrontakkan ini menggunakan tampuk sains berpisah dirinya daripada persoalan nilainya. Akhirnya, sains barat berevolusi dengan rakus tanpa sebarang jiwa kerohanian sehingga kerosakan dan kehancuran terjadi. Jadialah ia hamba falsafah dan logik akal manusia yang bermaharajalela hasil kemusnahan sains barat. Maka berledaklah bom atom di Nagasaki dan Hiroshima, kebocoran ozon, pencemaran sungai dan punca-punca air, keruntuhan akhlak dan moral yang amat mendukacitakan.
Namun kini, sarjana-sarjana Sains Islam mahupun Kristian telah bergerak semula memacu sains dan teknologi ini di landasan yang betul. Mereka memainkan peranan dalam gelanggang perbicaraan mengenal sifat, kegunaan, serta arah sains moden untuk masa depan. Pembuktian kajian sains berdasarkan ayat-ayat kitab suci sedang rancak dijalankan. Al-Quran sebagai pati dalam pencarian segenap khazanah ilmu dijadikan sebagai sumber perdana. Penghayatan dan pemahaman terhadap hubungan sains dan agama yang telah lama dicarik-carik oleh sains barat sedikit sebanyak mampu mengubati fikiran dan penerimaan masyarakat yang menolak kehadiran ilmu-ilmu wahyu dalam seluruh kehidupan mereka. Segala andaian-andaian yang lemah daripada Albert Einstein, Richard Darwin, dan Charles Darwin mampu dihakis dan divaksin sebelum virus ini merebak kepada generasi yang seterusnya.
SAINS DAN TEKNOLOGI TANPA AGAMA
Menyentuh kepada ketiadaan agama dalam pembentukan sains dan teknologi ibarat, rumah yang tidak bertiang, manusia tanpa tulang belakang dan bangunan tanpa cerucuk. Asasnya hilang, maka hasilnya akan musnah dan rosak binasa. Lipatan sejarah membuktikan, sains barat telah merogol dan menodai perkembangan kepada zaman kegelapan. Walaupun, tampak hebat pada awalnya, hasil daripada tajdid daripada penjenayah sains barat yang memporak perandakan sains dan teknologi.
Krisis-krisis dunia tumbuh ibarat cendawan tumbuh selepas hujan selepas beberapa siri tragedi hitam yang menghantui sejarah dunia seperti jatuhya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, pencerobohan Amerika terhadap Afghanistan, peperangan meledak sesuka hati, penipisan lapisan ozon, keruntuhan akhlak dan moral dan pencemaran yang berleluasa di tahap kronik ke atas bumi. Di dalam CNN.com bertarikh 2 Februaru 2010, saintis mencipta robot seks berada di pasaran. Situasi ini menyaksikan sains dan teknologi yang dipaksikan nafsu semata-mata. Hal ini menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral yang teruk di kalangan masyarakat. Di tambah pula, kewujudan jutaan laman web lucah dalam jalur lebar yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja menjadi bukti penyalahgunaan sains dan teknologi yang berleluasa. Fenomena ini menjadi indikator kepada kegagalan sains dan teknologi tanpa agama memacu kemajuan.
Menurut Oxford University Press bertarikh tahun 1999, menunjukkan hampir 780 billion dolar digunakan bagi pembangunan ketenteraan, namun hanya 6 billion dolar sahaja digunakan untuk pendidikan. Tambahan pula, sejumlah 400 billion dolar digunakan bagi dadah dan arak. Bukti yang nyata dinyatakan. Di tambah pula indeks pembuangan sampah yang dikeluarkan oleh Urban indicator pada tahun 1998 menunjukkan golongan berpendapatan tinggi mencatatkan 78 peratus penyumbang kepada pembuangan sampah di dalam dunia. Malah pelbagai lagi krisis-krisis seperti,kesan rumah hijau, pemanasan global, pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan dan banyak lagi yang menjadi barah di muka bumi hasil daripada kerakusan sains dan teknologi tanpa agama.
Justeru, keseimbangan dalam pembangunan sains dan teknologi perlu dicapai. Sains dan teknologi perlu dipacu oleh agama agar kemajuan yang ingin dicapai tidak membatasi norma-norma dan batas-batas yang ditetapkan agama. Hasilnya, kemajuan yang ingin dicapai mampu memelihara keharmonian dan keamanan sejagat.
PENUTUP
Sememangnya peranan agama dalam memacu perkembangan sains dan teknologi. Tanpa panduan yang diberikan oleh agama, sains dan teknologi akan membawa kehancuran. Sains dan teknologi mampu membantu manusia mengenal kehebatan Tuhan yang menciptakan. Jika difahami dan dihayati secara mendalam, penyatuan yang sebati agama dan sains dapat dilihat melalui penyatuan roh dan jirim, kewujudan kejadian ghaib dan sebagainya mampu dihayati secara mendalam. Oleh itu, manusia akan bertindak mengikut norma-norma yang telah dibataskan oleh syarak. Kepercayaan kepada dosa dan pahala, kejadian hari akhirat dan kiamat, kewujudan malaikat, jin dan syaitan yang tidak dilihat oleh mata kasar boleh dihayati secara mendalam. Justeru, pemahaman yang mendalam terhadap agama sebenarnya merupakan formula utama dalam pembangunan sains dan teknologi. Pengkajian yang mendalam terhadap ayat-ayat Allah perlu dikaji dengan mendalam supaya segala apa yang terkandung di dalam Al-Quran dapat diterjemahan secara saintifik, lalu menguatkan keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah dan RasulNya, dan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Lalu menangkis segala tohmahan yang menyatakan keasyikkan terhadap agama menyekat perkembangan sains dan teknologi di kalangan masyarakat. Premis palsu dan tidak berasas ini berjaya dihujah ketidakrelevanannya. Wallhualam..
Rujukan
1. Agama dan Sains: Bagaimanakah hubungan Antara keduanya, Kertas kerja dibentangkan di Seminar Bina Syaksiah, Universiti Teknologi Malaysia pada 2 April 1993
2. Nisbah antara Sains, Falsafah dan Agama, Endang Saifuddin
3. Faith and Sustainability oleh Azizan Baharuddin: Public Forum on Faith and Sustainability, IIC, Kuching, Sarawak, pad 10 Julai 2009
4. Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin, 2007
5. Wikipedia
6. History and Philosophy of Science, Shaikh Mohd Saifuddeen Shaik Mohd Salleh
salam. saya nak amik artikel ini utk rujukan assignment saya. terima kasih. harap halalkan semua sebab dah copy dah pun. hehee. jangan risau saya akan kreditkan nama anda :)
ReplyDeleteterima kasih atas maklumat yang begitu penting..
ReplyDelete