Lembah Ilmu

Mukaddimah

Muhasabah Diri

Asmaul Husna

Thursday, February 25, 2010

AQIDAH MUSLIMIN

sk

AQIDAH MUSLIMIN

1. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu agama yang (hukum mempelajarinya) fardu ain?

Jawapan: Setiap mukallaf diwajibkan mempelajari suatu kadar ilmu agama yang dia perlu yang terdiri daripada akidah, bersuci, solat, puasa, zakat bagi orang diwajibkan untuk mengeluarkannya, haji bagi orang yang berkemampuan, maksiat-maksiat hati, tangan, mata dan sebagainya.

Allah ta^ala berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ

Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) tidaklah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui”. [Surah al-Zumar: 9]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maknanya: “Menuntut ilmu agama (yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim”. [Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi]

2. Apakah hikmah penciptaan jin dan manusia?

Jawapan: Untuk diperintahkan oleh Allah supaya beribadah kepada-Nya.

Allah ta^ala berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونَ

Maknanya: “dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku”. [Surah al-Dharriyyat: 56]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَن يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Maknanya: “Hak Allah ke atas para hamba hendaklah mereka beribadah kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

3. Bagaimanakah ibadah menjadi sah?

Jawapan: Beribadah kepada Allah menjadi sah apabila dilakukan oleh orang yang meyakini kewujudan Allah dan tidak menyamakan atau menyerupakan-Nya dengan sesuatu apapun dari makhluk-Nya.

Allah ta^ala berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ

Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

لا فِكْرَة فِي الرَّبِّ

Maknanya: “Tidak boleh berfikir (membayangkan) tentang Allah”. [Diriwayatkan oleh Abu`l-Qasim al-Ansari]

Al-Ghazali berkata:

لاتَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ

Maknanya: “Ibadah tidak sah kecuali selepas mengetahui (Allah yang wajib) disembah”.

4. Kenapa Allah mengutus para rasul?

Jawapan: Allah ta^ala telah mengutus para rasul untuk mengajar manusia tentang kemaslahatan agama mereka dan dunia mereka, dan untuk mengajak manusia supaya menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.

Allah ta^ala berfirman:

فَبَعَثَ اللهُ النَّبِيِّين مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ

Maknanya: “..maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan”. [Surah al-Baqarah: 213]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

أَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِن قَبْلِي لا إِلَهَ إِلا اللهُ

Maknanya: “Perkataan paling utama yang aku dan para nabi sebelumku mengungkapkannya ialah لا إله إلا الله (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah)”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan selainnya]

5. Apakah erti Tauhid?

Jawapan: Al-Imam al-Junayd berkata:

التَّوْحِيدُ إِفْرَادُ الْقَدِيـمِ مِنَ الْمُحْدَثِ

Maknanya: “Tauhid ialah menyucikan (Allah) al-Qadim (Yang Maha Sedia Ada tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada yang didahului dengan tiada dan ada permulaan)”. [Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi]

Allah ta^ala berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ

Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Suatu ketika Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam menjawab:

إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ

Maknanya: “Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

6. Sila bincangkan tentang kewujudan Allah.

Jawapan: Allah itu ada dan tiada sebarang keraguan tentang kewujudan-Nya. Adanya Allah itu tanpa kayf (bagaimana, bentuk atau cara)[1], tanpa tempat, tanpa arah atau ruang dan tidak menyamai suatu pun daripada makhluk-Nya serta tiada suatu pun daripada makhluk-Nya yang menyerupai-Nya.

Allah ta^ala berfirman:

أَفِى اللهِ شَكٌّ

Maknanya: “Tiada keraguan akan adanya Allah”. [Surah Ibrahim: 10]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ

Maknanya: “Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya]

7. Apakah makna firman Allah ta^ala:وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ [Surah al-Hadid: 4]?

Jawapan: Maknanya ialah Allah mengetahui tentang kamu di mana pun kamu berada seperti yang dikatakan oleh al-Imam Sufyan al-Thawri, al-Imam al-Shafi^i, al-Imam Ahmad, al-Imam Malik dan selain mereka.

Allah ta^ala berfirman:

وَأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَىْءٍ عِلْمًا

Maknanya: “Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [Surah al-Talaq: 12]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

ارْبَعُوا عَلَى أَنفُسِكُمْ فَإِنَّكُمْ لا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلا غَائِبًا وَإِنَّـمَا تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا

Maknanya: “Janganlah kamu memaksa diri untuk mengeraskan suara kerana kamu bukanlah berdoa kepada Zat yang tuli dan ghaib, sesungguhnya kamu berdoa kepada Zat yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat (secara maknawi bukan fizikal)”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Makna hadis ini ialah tiada sesuatu pun yang tersembunyi dari Allah.

8. Apakah dosa yang paling besar?

Jawapan: Dosa yang paling besar ialah kufur. Perkara yang termasuk dalam kekufuran ialah syirik. Makna syirik ialah menyembah selain Allah. Allah ta^ala berfirman tentang Luqman, bahawa Luqman berkata:

يَا بُنَىَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maknanya: “…Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya penyekutuan (terhadap Allah) itu adalah kezaliman yang amat besar”. [Surah Luqman: 13]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam pernah ditanya tentang dosa yang paling besar, lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

أَن تَجْعَلَ للهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ

Maknanya: “Apabila engkau mengadakan suatu sekutu bagi Allah sedangkan Dia telah menciptakanmu”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya].

9. Apakah makna ibadah?

Jawapan: Ibadah adalah kemuncak ketundukan dan ketaatan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Subki.

Allah ta^ala berfirman:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ

Maknanya: “Tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Aku (Allah), maka beribadahlah (sembahlah) kepada-Ku”. [Surah al-Anbiya': 25]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَن يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Maknanya: “Hak Allah ke atas para hamba ialah mereka hendaklah beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

10. Adakah perkataan al-du^a’ (الدعاء) boleh diertikan dengan makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah ta^ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُوا رَبِّى وَلاَ أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا

Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku hanyalah beribadah kepada Tuhanku dan tidak menyekutukan-Nya dengan seorang pun”. [Surah al-Jinn: 20]

Allah ta^ala berfirman:

فَلاَ تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

Maknanya: “Maka janganlah kamu beribadah kepada seseorang bersama Allah”. [Surah al-Jinn: 18]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maknanya: “Doa adalah ibadah”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

11. Adakah perkataan al-du^a’ (الدعاء) boleh diertikan dengan selain daripada makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah ta^ala berfirman:

لاَ تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا

Maknanya: “Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain”. [Surah al-Nur: 63]

12. Apakah hukum memanggil atau menyeru (النداء) seseorang nabi atau wali meskipun bukan di hadapan mereka, dan apakah hukum meminta daripada seseorang nabi atau wali akan sesuatu yang dari segi kebiasaannya tidak berlaku ?

Jawapan: Perkara sedemikian boleh dilakukan kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dianggap peribadatan atau penyembahan kepada selain Allah. Ucapan "Wahai Rasulullah!" semata-mata bukanlah penyekutuan dengan Allah. Ini kerana telah thabit bahawa Bilal ibn al-Harith al-Muzani radiyaLlahu ^anhu (seorang sahabat Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam) mendatangi maqam (kubur) Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam ketika tahun kemarau pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar ibn al-Khattab radiyaLlahu ^anhu. Kemudian Bilal berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ اسْتَسْقِ لأُمَّتِكَ فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا

Maknanya: “Wahai Rasulullah! Mohonlah (kepada Allah ta^ala) agar air hujan diturunkan untuk umatmu, kerana sesungguh mereka telah mengalami bencana”. [Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan selainnya].

Amalan Bilal di atas sama sekali tidak diingkari oleh Sayyidina Umar dan selain beliau, bahkan mereka menilai perbuatan tersebut sebagai amalan yang baik.

Allah ta^ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوَّابًا رَحِيمًا

Maknanya: “Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. [Surah al-Nisa': 64]

Telah thabit bahawa Ibn ^Umar radiyaLlahu ^anhuma telah berkata: يا محمد yang bermakna: "Wahai Muhammad!" ketika beliau mengalami kelumpuhan di kakinya, selepas itu beliau sembuh. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad.

13. Jelaskan makna istighathah dan isti^anah dengan dalil.

Jawapan: Istighathah bererti meminta pertolongan ketika kesempitan atau kesulitan, manakala makna isti^anah lebih umum dan luas.

Allah ta^ala berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَوةِ

Maknanya: “Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang”. [Surah al-Baqarah: 45]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

تَدْنُو الشَّمْسُ مِن رُءُوسِ النَّاسِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذِ اسْـتَغَاثُوا بِآدَمَ

Maknanya: “Pada hari kiamat matahari terlalu hampir dengan kepala manusia. Ketika itu mereka meminta pertolongan kepada Nabi Adam ^alayhis-salam”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Dalam hadis ini ada dalil bahawa meminta pertolongan kepada selain Allah taala itu boleh dilakukan tetapi wajib beriktikad bahawa tidak ada yang boleh mendatangkan bahaya dan tidak ada yang boleh memberikan manfaat secara hakikatnya kecuali Allah.

14. Bincangkan tentang tawassul dengan para nabi.

Jawapan: Tawassul dengan para nabi dibolehkan dengan ijma^ (kesepakatan) ulama. Tawassul ialah memohon kepada Allah akan kedatangan suatu manfaat (kebaikan) atau penghindaran suatu mudarat (keburukan) dengan menyebut nama seseorang nabi atau wali untuk memuliakan mereka disertai dengan iktikad bahawa hakikatnya hanya Allah sahajalah yang mendatangkan mudarat dan manfaat.

Allah ta^ala berfirman:

وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ

Maknanya: “Kamu carilah perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kamu dengan Allah”. [Surah al-Ma'idah: 35]

Dalam satu hadis ada satu peristiwa yang disebutkan bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam mengajar seorang buta bertawassul dengan Baginda. Setelah orang buta itu bertawassul bukan di hadapan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam, maka Allah mengembalikan penglihatannya semula. Hadis yang menceritakan peristiwa ini diriwayatkan oleh al-Tabrani dan beliau menghukumkan hadis tersebut sebagai sahih.

15. Bincangkan tentang tawassul dengan para wali Allah.

Jawapan: Tidak ada seorang pun di kalangan orang-orang yang berada di jalan kebenaran (Ahlu`l-Haqq) mencakupi generasi salaf dan generasi khalaf yang berlainan daripada pendapat bahawa tawassul dengan para wali itu dibolehkan.

Dalam hadis disebutkan bahawa Sayyidina Umar bertawassul dengan al-^Abbas (bapa saudara Nabi) dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا

Maknanya: “Ya Allah kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami (supaya Engkau menurunkan air hujan)”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari].

16. Jelaskan makna Hadis al-Jariyah[2].

Jawapan: Hadis tersebut mudtarib (suatu hadis yang diriwayatkan dengan lafaz matannya yang berbeza-beza dan saling bertentangan sehingga menjadikannya dihukumkan sebagai hadis da^if). Meskipun ada ulama yang menganggap hadis tersebut sebagai sahih, namun mereka tidak mengertikan bahawa Allah mendiami atau berada di langit.

Al-Imam al-Nawawi telah berkata dalam huraiannya terhadap hadis tersebut bahawa perkataan أَيْنَ الله (Di mana Allah?) adalah suatu soalan tentang darjat atau kedudukan, bukannya tentang tempat.

Oleh itu, makna perkataan Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam di atas ialah: "Apakah peganganmu dari segi pengagunganmu terhadap Allah?". Selanjutnya, perkataan hamba perempuan في السماء (di langit) itu pula bermakna: "Sangat tinggi tahap pengagunganku terhadap-Nya". Oleh itu, tidak boleh berpegang bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam telah bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang tempat (bagi Allah) dan tidak boleh berpegang bahawa hamba perempuan itu telah bermaksud Allah bertempat di langit.

Sayyidina ^Ali radiyaLlahu ^anhu wa karrama wajhah berkata:

لا يُقَالُ أَيْنَ لِمَنْ أَيَّنَ الأَيْنَ

Maknanya: “Tidak boleh dikatakan (disoalkan tentang) di mana (tempat) bagi Allah yang telah menempatkan di mana (tempat)”. [Disebutkan oleh Abu`l-Qasim al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah]

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqhu`l-Absat:

كَانَ قَبْلَ الْمَكَانِ, كَانَ وَلَمْ يَكُنْ أَيْنٌ وَلا خَلْقٌ وَهُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Maknanya: “Dia (Allah) ada (azali) sebelum (kewujudan) tempat. Dia ada (azali) dengan keadaan belum ada suatu (penciptaan) tempat dan suatu (penciptaan) makhluk yang lain, dan Dia adalah pencipta segala sesuatu”.

Allah ta^ala berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ

Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ

Maknanya: “Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya]

17. Hukum orang yang mencaci Allah adalah kafir. Jelaskan perkara ini dengan dalil.

Jawapan: Al-Qadi ^Iyad menaqalkan ijma^ (kesepakatan ulama mujtahidin) bahawa orang mencaci Allah adalah kafir meskipun dalam keadaan marah, bergurau atau hati yang tidak lapang (tidak reda dengan makian tersebut daripada ucapannya sendiri).

Allah ta^ala berfirman:

ولَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِه كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ(65)

لاَ تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَنِكَمْ

Maknanya: “Dan jika kamu bertanya kepada mereka (tentang perkara yang mereka katakan itu), tentulah mereka akan menjawab: “sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain-main sahaja”. Katakanlah (kepada mereka): “Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu boleh memperolok-olokkan! Tidak perlu kamu meminta maaf, sebenar kamu telah menjadi kafir setelah kamu beriman”. [Surah al-Tawbah: 65-66]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لا يَرَى بِـهَا بَأْسـًا يَهْوِي بِـهَا فِي النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفـًا

Maknanya: “Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang memperolok-olokkan atau menghina Allah atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan tersebut) akan menjerumuskannya ke (dasar) neraka (yang untuk sampai kepadanya) selama 70 tahun (diperlukan dan hanya dihuni oleh orang-orang kafir sahaja)”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

18. Apakah dalil yang membolehkan ziarah kubur bagi lelaki dan perempuan?

Jawapan: Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

زُورُوا القُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُم بِالآخِرَةِ

Maknanya: “Kamu ziarahilah kubur kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kamu kepada kehidupan akhirat”. [Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi]

19. Bagaimanakah cara untuk masuk Islam?

Jawapan: Dengan pengucapan dua kalimah syahadah disertai dengan niat masuk Islam, bukannya dengan pengucapan istighfar seperti: أستغفر الله. Jangan terkeliru dengan zahir firman Allah ta^ala tentang Nabi Nuh ^alayhis-salam bahawa Baginda bersabda:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

Maknanya: “Maka aku berkata: “Kamu pohonlah keampunan daripada Tuhan kamu”. [Surah Nuh: 10]

Ini kerana maknanya yang sebenar ialah bahawa Nabi Nuh ^alayhis-salam telah mengajak kaum Baginda untuk masuk Islam dengan beriman kepada Allah dan Nabi-Nya Nuh ^alayhis-salam supaya Allah mengampunkan mereka.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَن لا إِلَهَ إِلا اللهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ

Maknanya: “Aku diperintahkan untuk memerangi umat manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

20. Jelaskan hukum mengucapkan pujian buat Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam?

Jawapan: Pengucapan pujian buat Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam dibolehkan dengan ijma^.

Allah ta^ala berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maknanya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berperilaku yang agung”. [Surah al-Qalam: 4]

Allah ta^ala berfirman:

وَعَزَّرُوهُ وَنـَصَرُوهُ

Maknanya: “..dan mereka memuji dan membelanya (Rasulullah)”. [Surah al-A^raf: 157]

Perkataan عزّروه membawa makna memuji dan mengagungkan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dinyatakan seperti berikut:

إِنَّ بَعْضَ النِّسَاءِ مَدَحْنَ النَّبِيَّ عَلَيْهِ السَّلامُ بِقَوْلِهِنَّ أَمَامَ النَّبِيِّ: "يَا حَبَّذَا مُحَمَّدٌ مِن جَارٍ"

Maknanya: “Sesungguhnya sebahagian wanita ada memuji Nabi ^alayhis-salam di hadapan Baginda sendiri dengan kata-kata: "Oh! Betapa mulianya Muhammad sebagai seorang jiran”.

Telah thabit bahawa sangat ramai sahabat Nabi memuji Baginda seperti Hassan ibn Thabit, al-^Abbas dan selain mereka, sedangkan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam sendiri tidak mengingkari perkara tersebut, bahkan Baginda menilainya sebagai perbuatan yang baik.

21. Bincangkan tentang siksaan kubur.

Jawapan: Wajib beriman dengan siksaan kubur dan hukum ini thabit dengan ijma^. Barangsiapa mengingkarinya maka dia telah kafir.

Allah ta^ala berfirman:

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Maknanya: “Neraka dinampakkan kepada mereka (orang-orang kafir pengikut Firaun) pada waktu pagi dan petang (di alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat, (dikatakan kepada malaikat): “Masukkan keluarga Firaun ke siksaan yang amat pedih”. [Surah Ghafir: 46]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

اسْتَعِيذُوا بِاللهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maknanya: “Kamu mohonlah perlindungan dengan Allah dari siksaan kubur”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

22. Apakah makhluk Allah yang pertama?

Jawapan: Makhluk pertama ialah air. Allah ta^ala berfirman:

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ

Maknanya: “Dan kami telah menjadikan segala sesuatu yang hidup daripada air”. [Surah al-Anbiya': 30]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ خُلِقَ مِنَ الْمَاءِ

Maknanya: “Setiap sesuatu diciptakan daripada air”. [Diriwayatkan oleh Ibn Hibban]

23. Bincangkan tentang bahagian-bahagian bid^ah dan apakah dalil yang menunjukkan bahawa bid^ah hasanah itu ada?

Jawapan: Bid^ah dari segi bahasa ialah setiap perkara yang diadakan tanpa ada contoh sebelumnya, manakala dari segi istilah pula bid^ah terbahagi kepada dua, iaitu bid^ah huda dan bid^ah dalalah.

Allah ta^ala berfirman:

وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلاَّ ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللهِ

Maknanya: “…dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah sedangkan kami tidak mewajibkannya kepada mereka melainkan (mereka sendiri yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah”. [Surah al-Hadid: 27]

Allah memuji perbuatan para pengikut Nabi ^Isa ^alayhis-salam yang muslim kerana mereka menjauh dan memutuskan diri mereka daripada kesukaan nafsu syahwat yang tidak diwajibkan ke atas mereka semata-mata kerana menagih keredaan Allah.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَن سَنَّ فِي الإِسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِن بَعْدِهِ

Maknanya: “Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut dan pahala orang-orang yang melakukan perbuatan itu selepasnya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Para sahabat Nabi dan generasi muslim selepas mereka banyak melakukan perkara-perkara baru yang baik dalam agama dan umat Islam menerima perkara itu seperti membina mihrab (tempat sembahyang imam di masjid), azan kedua bagi sembahyang Jumaat, meletakkan titik di dalam mushaf dan amalan Maulid Nabi.

24. Bincangkan tentang sihir.

Jawapan: Melakukan sihir adalah haram. Allah ta^ala berfirman:

وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

Maknanya: “Dan Nabi Sulaiman tidaklah kafir, tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, hal keadaan mereka mengajar sihir kepada manusia (dengan meyakini perkara ini sebagai suatu yang halal dan boleh)”. [Surah al-Baqarah: 102]

Dalam satu hadis ada dinyatakan:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ. قِيلَ: مَا هِيَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الشِّرْكُ وَالسِّحْرُ...

Maknanya: Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda: “Kamu hendaklah menjauhi tujuh perkara yang membinasakan”. Baginda ditanya: “Apakah tujuh perkara itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir…”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

25. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa orang yang melempar lembaran yang mengandungi nama Allah ke tempat kotor dengan maksud perlecehan atau penghinaan itu kafir?

Jawapan: Tidak boleh melempar suatu lembaran atau kertas yang mengandungi nama Allah ke tempat kotor atau menjijikkan. Orang yang berbuat demikian dengan maksud perlecehan atau penghinaan itu adalah kafir.

Allah ta^ala berfirman:

قُلْ أَبِاللهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِه كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ(65) لاَ تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَنِكَمْ

Maknanya: “…Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): "Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu boleh memperolok-olokkan! Tidak perlu kamu meminta maaf, sebenar kamu telah menjadi kafir setelah kamu beriman”. [Surah al-Tawbah: 65-66]

Ibn ^Abidin berkata:

وَيَكْفُرُ مَن رَمَى الْمُصْحَفَ فِي الْقَاذُورَاتِ وَلَوْ لَمْ يَقْصِدِ الاسْتِخْفَافَ لأَنَّ فِعْلَهُ يَدُلُّ عَلَى الاسْتِخْفَافِ

Maknanya: “Dan orang (sengaja) melempar mushaf ke tempat kotor atau menjijikkan terkeluar dari Islam meskipun dia tidak bermaksud untuk memperleceh atau menghina kerana perbuatannya itu menunjukkan penghinaan atau perlecehan”.

26. Apakah hukum bernazar?

Jawapan: Boleh bernazar dalam perkara ketaatan kepada Allah atau pendekatan diri kepada rahmat Allah dan wajib memenuhi nazar tersebut. Adapun nazar dalam perkara yang diharamkan oleh Allah maka hukumnya haram dan tidak wajib dipenuhi.

Allah ta^ala berfirman:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ

Maknanya: “Mereka (sentiasa) memenuhi nazar”. [Surah al-Insan: 7]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَن نَذَرَ أَن يُطِيعَ اللهَ فَلْيُطِعْهُ, وَمَن نَذَرَ أَن يَعْصِيَهُ فَلا يَعْصِهِ

Maknanya: “Barangsiapa bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya, dan barangsiapa bernazar untuk bermaksiat kepada-Nya maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

27. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa suara perempuan itu bukan aurat?

Jawapan: Allah ta^ala berfirman:

وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوفًا

Maknanya: “Dan katakanlah (wahai isteri-isteri Nabi) dengan perkataan yang baik”. [Surah al-Ahzab: 22]

Al-Ahnaf ibn Qays berkata:

سَمِعْتُ الْحَدِيثَ مِن فِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيٍّ فَمَا سَمِعْتُهُ كَمَا سَمِعْتُهُ مِن فِي عَائِشَةَ (فِي أي: فَمٌ)

Maknanya: “Aku telah mendengar hadis dari mulut Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali. Dan aku tidak pernah mendengar hadis sebagaimana aku telah mendengarnya dari mulut ^A'ishah”. [Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitab beliau al-Mustadrak]

28. Bincangkan tentang sifat Kalam Allah.

Jawapan: Allah bersifat kalam (berkata-kata) tidak seperti kalam kita. Sifat kalam-Nya bukanlah suatu huruf, suatu suara dan suatu bahasa.

Allah ta^ala berfirman:

وَكَلَّمَ اللهُ مُوسَى تَكْلِيمًا

Maknanya: “Dan Allah benar-benar memperdengarkan kalam-Nya kepada Musa”. [Surah al-Nisa': 164]

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitab beliau al-Fiqh al-Absat:

وَيَتَكَلَّمُ لاَ كَكَلاَمِنَا وَنَحْنُ نَتَكَلَّمُ بِالآلاَتِ وَالْحُرُوفِ وَالْمَخَارِجِ وَاللهُ تَعَالَى مُتَكَلِّمٌ بِلاَ ءَالَةٍ وَلاَ حُرُوفٍ

Maknanya: “Dan Allah bersifat kalam yang tidak seperti sifat kalam kita, dan kita berbicara atau berkata-kata dengan anggota percakapan, huruf dan tempat keluar huruf sedangkan Allah berkata-kata tanpa suatu alat dan suatu tempat keluar huruf”.

29. Apakah makna firman Allah: الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى [Surah Taha: 5]?

Jawapan: Al-Imam Malik berkata:

اسْتَوَى كَمَا وَصَفَ نَفْسَهُ وَلا يُقَالُ عَنْهُ كَيْفَ وَكَيْفَ عَنْهُ مَرْفُوعٌ

Maknanya: “Allah istawa (استوى) seperti yang Dia mensifatkan Zat-Nya, tidak boleh dikatakan bagaimana tentangnya (istawa), dan persoalan bagaimana itu mustahil bagi-Nya”.

Bagaimana (bentuk) adalah sifat makhluk dan antara sifat makhluk ialah duduk, mendiami, bertempat dan berpihak.

Al-Imam al-Qushayri berkata:

اسْتَوَى أي حَفِظَ وَقَهَرَ وَأَبْقَى

Maknanya: “Istawa bererti menjaga, menguasai dan menetapkan”.

Tidak boleh beriktikad bahawa Allah duduk atau bersemayam di atas arasy kerana pegangan ini adalah akidah Yahudi dan di dalam akidah ini terdapat pendustaan terhadap firman Allah ta^ala ini:

فَلاَ تَضْرِبُوا لله الأَمْثَالَ

Bermaksud: “Maka janganlah kamu mengadakan sebarang persamaan bagi Allah”. [Surah al-Nahl, ayat 74]

Allah ta^ala berfirman:

وَبَرَزُوا للهِ الْواحِدِ الْقَهَّارِ

Maknanya: “Dan mereka berkumpul untuk dihisab oleh Allah Yang Maha Esa lagi Maha Menundukkan dan Menguasai”. [Surah Ibrahim: 48]

Sayyidina ^Ali radiyaLlahu ^anhu wakarrama wajhah berkata:

إِنَّ اللهَ خَلَقَ الْعَرْشَ إِظْهَارًا لِقُدْرَتِهِ وَلَمْ يَتَّخِذْهُ مَكَانًا لِذَاتِهِ

Maknanya: “Sesungguhnya Allah menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya dan bukanlah Allah mengambilnya sebagai suatu tempat bagi zat-Nya”. [Diriwayatkan oleh Abu Mansur al-Baghdadi]

30. Bincangkan tentang Qadar.

Jawapan: Segala sesuatu yang terjadi di alam ini terdiri daripada kebaikan dan keburukan, ketaatan dan kemaksiatan serta keimanan dan kekufuran adalah dengan takdir, kehendak dan ilmu Allah. Kebaikan, keimanan dan ketaatan ditentukan dengan takdir Allah dengan kesukaan dan keredaan-Nya. Manakala kejahatan, kemaksiatan dan kekufuran ditentukan dengan takdir Allah tanpa kesukaan dan keredaan-Nya. Namun takdir Allah yang merupakan sifat-Nya yang azali dan abadi itu tidak boleh disifatkan dengan kejahatan atau keburukan.

Allah ta^ala berfirman:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maknanya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu dengan suatu ukuran (ketentuan)”. [Surah al-Qamar: 49]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ بِقَدَرٍ حَتَّى الْعَجْزُ وَالْكَيسُ

Maknanya: “Segala sesuatu (terjadi) dengan suatu ukuran (ketentuan Allah) meskipun kebodohan dan kepintaran”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

31. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa seorang lelaki berjabat tangan dengan perempuan itu haram?

Jawapan: Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

لأَن يُطْعَنَ أَحَدُكُم بِحَدِيدَةٍ فِي رَأْسِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَن يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

Maknanya: “Jika salah seorang di kalangan kamu ditusuk dengan suatu besi di kepalanya, maka itu lebih ringan baginya daripada (disiksa kerana) menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya”. [Diriwayatkan oleh al-Daraqutni]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

زِنَى الْيَدَيْنِ الْبَطْشُ

Maknanya: “Dan zina kedua tangan itu ialah sentuhan”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

32. Bincangkan tentang pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia.

Jawapan: Pembacaan al-Quran untuk orang Islam yang telah meninggal dunia dibolehkan.

Allah ta^ala berfirman:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ

Maknanya: “Dan kamu lakukanlah kebaikan”. [Surah al-Hajj: 77]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس

Maknanya: “Kamu bacalah Surah Yasin untuk orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu”. [Diriwayatkan dan disahihkan oleh Ibn Hibban]

Ahlu`l-Haqq (Ulama Ahli`s-Sunnah wa`l Jama^ah) berijma^ bahawa pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia dibolehkan dan ada manfaatnya.

Al-Imam al-Shafi^i berkata:

لَوْ قَرَءُوا عِندَ قَبْرِهِ شَيْئًا مِنَ الْقُرْءَانِ كَانَ حَسَنًا وَلَوْ قَرَءُوا الْقُرْءَانَ كُلَّهُ كَانَ أَحْسَنَ

Maknanya: “Jika mereka membaca sesuatu dari al-Quran di sisi kubur seorang muslim maka itu suatu perkara yang baik. Jika mereka membaca seluruh al-Quran maka itu lebih baik”. [Dinaqalkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitab beliau Riyadu`sSalihin]

33. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa orang yang telah meninggal dunia boleh mendapat manfaat dengan sedekah?

Jawapan: Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انقَطَعَ عَمَلُهُ إِلا مِن ثَلاثٍ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maknanya: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia maka amal perbuatannya (yang dapat terus mengalirkan pahala untuknya) terputus kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang akan mendoakan untuknya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Ketiga-tiga perkara tersebut adalah antara perkara yang boleh diambil manfaat oleh seorang muslim yang telah meninggal dunia kerana perkara-perkara itu menjadi sebab dalam hal ini.

Demikian juga Allah ta^ala berfirman:

وَأَن لَيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى

Maknanya: “Dan sesungguhnya tiada (balasan) bagi manusia melainkan (berdasarkan) apa yang telah diusahakan”. [Surah al-Najm: 39]

Yakni kebaikan yang telah dilakukan oleh si mati sendiri bermanfaat baginya, manakala kebaikan orang lain untuk si mati yang bukan perbuatannya sendiri itu pula bermanfaat baginya dengan anugerah dan kelebihan Allah ke atasnya. Contohnya solat jenazah yang bukannya perbuatan si mati tetapi dia yang dapat manfaat dengan solat tersebut.

Demikian juga doa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam untuk orang lain. Doa itu bukanlah perbuatan orang yang didoakan tetapi dia mendapat manfaat dengan doa Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam itu, seperti doa Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam untuk Ibn ^Abbas radiyaLlahu ^anhuma:

اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ وَتَأْوِيلَ الْكِتَابِ

Maknanya: “Ya Allah! Kurniakanlah baginya ilmu hikmah dan ilmu takwil al-Quran”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

34. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa Qiyam Ramadan (Solat Tarawih) boleh dilakukan lebih dari 11 rakaat?

Jawapan: Allah ta^ala berfirman:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maknanya: “Dan kamu lakukanlah kebaikan supaya kamu berjaya”. [Surah al-Hajj: 77]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ فَلْيُوتِرْ بِرَكْعَةٍ

Maknanya: “Solat malam itu dilakukan dua rakaat dua rakaat. Apabila ada di kalangan kamu bimbang masuk waktu subuh maka lakukanlah solat Witir satu rakaat”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

الصَّلاةُ خَيْرُ مَوْضُوعٍ فَمَن شَاءَ اسْتَقَلَّ وَمَن شَاءَ اسْتَكْثَرَ

Maknanya: “Solat adalah suatu amalan paling baik, maka barangsiapa yang mahu maka dia boleh menyedikitkan bilangan rakaatnya dan barangsiapa mahu maka dia boleh memperbanyakkan bilangan rakaatnya”[3]. [Diriwayatkan oleh Muslim].

35. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh menggunakan rebana?

Jawapan: Terdapat satu hadis yang berbunyi:

أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ لِلرَّسُولِ: إِنِّي نَذَرْتُ إِن رَدَّكَ اللهُ سَالِمًا أَنْ أَضْرِبَ بِالدُّفِّ بَيْنَ يَدَيْكَ, قَالَ: إِن كُنتِ نَذَرْتِ فَأَوْفِي بِنَذَرِكِ

Maknanya: “Bahawa ada seorang perempuan berkata kepada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam: “Sesungguhnya aku telah bernazar untuk memukul rebana di hadapanmu jika Allah mengembalikanmu dalam keadaan selamat”. Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam pun bersabda: “Jika engkau telah bernazar maka penuhilah nazarmu itu”. [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]

36. Siapakah nabi dan rasul yang pertama?

Jawapan: Nabi dan rasul yang pertama ialah Adam ^alayhis-salam.

Allah ta^ala berfirman:

إِنَّ اللهَ اصْطَفَى ءَادَمَ وَنـــُوحًا

Maknanya: “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh…(sebagai nabi)”. [Surah Al ^Imran: 33]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

ءَادَمُ فَمَن سِوَاهُ مِنَ الأَنبِيَاءِ تَحْتَ لِوَائِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maknanya: “Adam dan selainnya dari kalangan para nabi berada di bawah panjiku pada hari kiamat”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

37. Apakah sifat wajib bagi para nabi dan sifat mustahil bagi mereka?

Jawapan: Para nabi wajib (pasti pada akal) bersifat benar, amanah, pintar, terpelihara dari perbuatan tercela, berani, fasih atau petah berbicara. Mereka mustahil bersifat dusta, khianat, kecelaan, zina, semua dosa besar dan kekufuran sebelum kenabian dan selepas kenabian.

Allah ta^ala berfirman:

وَكُلاًّ فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ

Maknanya: “Dan semuanya (para nabi itu) kami melebihkan darjat mereka ke sekalian makhluk”. [Surah al-An^am: 86]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَا بَعَثَ اللهُ نَبِيًّا إِلاَّ حَسَنَ الْوَجْهِ حَسَنَ الصَّوْتِ

Maknanya: “Allah tidak mengutus seorang nabi pun melainkan tampan rupanya dan merdu suaranya”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

38. Apakah makna firman Allah ta^ala: لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ [Surah al-Ikhlas: 3]?

Jawapan: Makna firman Allah di atas ialah Allah tidak berasal dari sesuatu dan tidak ada suatu pun yang menjadi pecahan daripada-Nya (seperti Dia tidak beranak). Oleh itu, Allah tidak menempati sesuatu, tiada suatu pun yang terbahagi atau terpecah dari-Nya (sesuatu menjadi suatu juzuk daripada-Nya) dan tiada suatu pun yang menempati-Nya.

Al-Imam Ja^far al-Sadiq berkata:

مَن زَعِمَ أَنَّ اللهَ فِي شَيْءٍ أَوْ مِن شَيْءٍ أَوْ عَلَى شَيْءٍ فَقَدْ أَشْرَكَ

Maknanya: “Barangsiapa yang beranggapan bahawa Allah di dalam sesuatu, daripada sesuatu atau di atas sesuatu maka sesungguhnya dia telah menjadi musyrik”. [Diriwayatkan oleh al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah]

39. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh berselawat ke atas Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam selepas azan?

Jawapan: Boleh berselawat ke atas Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam selepas azan dan tidak perlu hiraukan orang yang mengharamkannya.

Allah ta^ala berfirman:

إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتــَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِىِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maknanya: “Sesunggunya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya sungguh-sungguh”. [Surah al-Ahzab: 56]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا كَمَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ

Maknanya: “Apabila kamu mendengar muazzin (mengumandangkan azan) maka ucapkanlah seperti yang diucapkannya kemudian berselawatlah ke atasku”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَن ذَكَرَنِي فَلْيُصَلِّ عَلَيَّ

Maknanya: “Barangsiapa yang menyebutku[4] maka hendaklah berselawat ke atasku”. [Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi]

40. Apakah maksud riddah? Dan berapakah bahagiannya?

Jawapan: Riddah ialah terputusnya keislaman dengan sebab kekufuran. Riddah terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Riddah Qawliyyah (perkataan) seperti mencaci atau memaki Allah atau para nabi atau Islam meskipun dalam keadaan marah.

2. Riddah Fi^liyyah (perbuatan) seperti melempar mushaf al-Quran ke tempat-tempat yang kotor dan memijak mushaf al-Quran.

3. Riddah Qalbiyyah (hati) seperti beriktikad bahawa Allah itu adalah suatu jisim atau benda atau roh atau bahawa Dia duduk atau bersemayam di atas Arasy atau bahawa Dia mendiami atau berada langit atau di setiap tempat dengan zat-Nya atau berpegang bahawa Dia berada di suatu penjuru atau pihak.

Allah ta^ala berfirman:

وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ

Maknanya: “Dan sebenarnya mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka telah kafir setelah keislaman mereka”. [Surah al-Tawbah: 74]

Allah ta^ala berfirman:

لاَ تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ

Maknanya: "Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan". [Surah Fussilat: 37]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Maknanya: “Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang menghina Allah, para nabi atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan itu) boleh menjerumuskannya ke dalam (dasar) neraka (yang kedalamannya) lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat”. [Diriwayatkan Muslim dan al-Bukhari]

41. Apakah dalil yang menunjukkan boleh menyambut Maulid Nabi?

Jawapan: Allah ta^ala berfirman:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maknanya: “Dan kamu lakukanlah kebaikan supaya kamu berjaya”. [Surah al-Hajj: 77]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَن سَنَّ فِي الإِسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا

Maknanya: “Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut…”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

42. Apakah maksud sabda Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam: إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنتَ فَاسْتَعِن بِاللهِ?

Jawapan: Makna hadis ini termasuk dalam bab keutamaan iaitu bahawa yang paling utama dimohon dan diminta pertolongan adalah Allah. Namun hadis ini tidak pula bermakna: "Jangan kamu memohon dan meminta pertolongan kepada selain Allah". Hal ini sama seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban:

لا تُصَاحِبْ إِلا مُؤمِنًا وَلا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلا تَقِيٌّ

Maknanya: “Janganlah engkau bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan janganlah makananmu dimakan melainkan oleh orang yang bertaqwa”.

Hadis di atas bermakna bahawa orang yang paling utama untuk diberikan makanan ialah orang yang bertaqwa dan orang yang paling utama untuk dijadikan sahabat atau kawan ialah orang yang beriman. Hadis tersebut tidak membawa makna bahawa haram memberi makanan kepada orang yang tidak bertaqwa dan haram bersahabat dengan orang bukan mukmin.

Sesungguhnya Allah memuji orang Islam di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maknanya: "Dan mereka memberikan makanan mereka kerana Allah kepada orang miskin, anak yatim dan orang (kafir yang menjadi) tawanan". [Surah al-Insan: 8]

Sebenarnya di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada diceritakan tentang tiga orang yang terperangkap di dalam sebuah gua memohon kepada Allah agar mereka dapat keluar dari gua itu dengan wasilah amal soleh mereka, kemudian Allah melepaskan mereka dari terperangkap.

43. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa kaum lelaki dan kaum perempuan dibolehkan untuk menziarahi makam Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam?

Jawapan: Ziarah makam Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam disunatkan dengan ijma^ seperti yang dinaqalkan oleh al-Qadi ^Iyad dan al-Nawawi.

Allah ta^ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوَّابًا رَحِيمًا

Maknanya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". [Surah al-Nisa': 64]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

مَن زَارَ قَبْرِي وَجَبَتْ لَهُ شَفَاَعَتِي

Maknanya: "Barangsiapa yang menziarahi makamku maka pasti dia mendapat syafaatku". [Diriwayatkan oleh al-Daruqutni dan dinilai sebagai kuat oleh al-Hafiz al-Subki]

Adapun hadis yang berbunyi:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِدَ

Maknanya (yang zahir): "Tidak boleh bersungguh-sungguh untuk melakukan perjalanan kecuali perjalanan ke tiga masjid (al-Masjid al-Haram, Masjid Nabawi, al-Masjid al-Aqsa)".

Makna sebenar hadis di atas ialah barangsiapa yang mahu bermusafir dengan tujuan mendirikan solat di suatu masjid maka sepatutnya dia pergi bermusafir ke tiga masjid yang berkenaan kerana bersembahyang di dalam masjid-masjid tersebut melipatgandakan pahala. Anjuran atau saranan di dalam hadis tersebut sebagai sunat bukannya wajib. Oleh itu, hadis tersebut dikhususkan dengan perjalanan dengan tujuan solat dan tidak dinyatakan pula di dalam hadis tersebut bahawa tidak boleh menziarahi makam Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam.

44. Apakah dalil yang menunjukkan boleh mengambil berkat (tabarruk)?

Jawapan: Perbuatan mengambil berkat dengan Nabi sallaLlahu ^alayhi wasallam dan bekas atau peninggalan Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam dibolehkan. Allah ta^ala berfirman tentang Nabi Yusuf ^alayhis-salam:

اذْهَبُوا بِقَمِيصِى هّذّا فَاَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِى يَأْتِ بَصِيرًا

Maknanya: "Kamu pergilah membawa bajuku ini kemudian letakkanlah baju ini di wajah ayahku nescaya dia boleh melihat kembali". [Surah Yusuf: 93]

Satu hadis menyatakan:

الرَّسُولُ قَسَّمَ شَعْرَهُ وَوَزَّعَهُ بَيْنَ النَّاسِ لِيَتَبَرَّكُوا بِهِ

Maknanya: "Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam membahagi-bahagikan dan mengedarkan rambutnya di kalangan orang ramai supaya mereka mengambil berkat dengan rambut itu". [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

45. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh memakai tangkal (hirz) yang mengandungi ayat al-Quran dan seumpamanya dan tidak mengandungi kata-kata, rajah-rajah atau angka-angka (yang tidak difahami atau tidak jelas maknanya) yang diharamkan?

Jawapan: Allah ta^ala berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maknanya: “Dan kami menurunkan suatu dari al-Quran itu sebagai penawar atau penyembuhan dan sebagai rahmat bagi orang-orang yang beriman”. [Surah al-Isra': 82]

Satu hadis menyatakan:

قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنُ عَمْرُو: كُنَّا نُعَلِّمُ صِبْيَانَنَا الآيَاتِ مِنَ الْقُرْءَانِ وَمَن لَمْ يَبْلُغْ نَكْتُبْهَا عَلَى وَرَقَةٍ وَنُعَلِّقُهَا عَلَى صَدْرِهِ

Maknanya: “Abdullah ibn ^Amr berkata: "Kami pernah mengajar beberapa ayat al-Quran kepada anak-anak kecil kami, manakala anak yang belum baligh pula kami menulis ayat-ayat tersebut di atas suatu kertas dan menggantungkannya di atas dadanya”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

46. Bincangkan tentang dhikru`llah (menyebut nama Allah) ketika mengiringi jenazah?

Jawapan: Menyebut nama Allah ketika mengiringi jenazah hukumnya boleh tanpa ada khilaf.

Allah ta^ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maknanya: “Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah (sebutlah) nama Allah dengan suatu zikir (sebutan) yang banyak”. [Surah al-Ahzab: 41]

Allah ta^ala berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ

Maknanya: “Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring”. [Surah Al ^Imran: 191]

Satu hadis menyatakan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ يَذْكُرُ اللهَ عَلَى جَمِيعِ أَحْوَالِهِ

Maknanya: “Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam berzikir (mengingati) Allah dalam setiap keadaan”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

47. Bincangkan tentang takwil.

Jawapan: Takwil ialah mengeluarkan nas (al-Quran dan Hadis) dari kefahaman zahirnya. Takwil dibolehkan terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang zahirnya membawa kekeliruan bahawa Allah mempunyai anggota tangan atau anggota muka, atau bahawa Dia duduk di atas arasy atau mendiami di sesuatu arah atau pihak, atau bahawa Dia disifatkan dengan suatu sifat daripada sifat-sifat makhluk.

Allah ta^ala berfirman:

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُونَ فى الْعِلْمِ

Maknanya: “Dan tidak ada yang mengetahui tentang takwilnya (ayat-ayat mutashabihat) kecuali Allah dan orang-orang mendalam ilmunya”. [Surah Al ^Imran: 7]

Dalam suatu hadis diriwayatkan bahawa Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam telah berdoa untuk Ibn ^Abbas radiyaLlahu ^anhuma, iaitu:

اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ وَتَأْوِيلَ الْكِتَابِ

Maknanya: “Ya Allah! Kurniakanlah baginya ilmu hikmah dan ilmu takwil al-Quran”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn Hibban dan al-Hafiz Ibn al-Jawzi]

48. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa iman adalah syarat penerimaan segala amal soleh?

Jawapan: Allah ta^ala berfirman:

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maknanya: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh dari kalangan lelaki atau perempuan sedang dia seorang yang beriman (ertinya ini sebagai syarat), maka mereka itu akan memasuki syurga dan mereka tidak akan dianiaya sama sekali”. [Surah al-Nisa': 124]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

أَفْضَلُ الأَعْمَالِ إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ

Maknanya: “Perbuatan atau amalan yang paling utama (secara mutlaknya) ialah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

49. Apakah makna firman Allah ta^ala : كُلُّ شَىْءٍ هَالِكٌ إِلاَّ وَجْهَهُ [Surah al-Qasas: 88]?

Jawapan: Al-Imam al-Bukhari mentakwil firman Allah إِلاَّ وَجْهَهُ daripada ayat di atas dengan katanya:

إِلاَّ مُلْكَهُ

Maknanya: “kecuali kekuasaan-Nya”.

Al-Imam Sufyan al-Thawri berkata:

إِلاَّ مَا أُرِيدَ بِهِ وَجْهَ اللهِ أَيْ الأَعْمَالَ الصَّالِحَةَ

Maknanya: “…kecuali sesuatu yang bertujuan untuk mendapatkan reda Allah iaitu amal soleh”.

50. Apakah makna firman Allah ta^ala: ءَأَمِنتُمْ مَن فِى السَّمَاءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ الأَرْضَ [Surah al-Mulk: 16]?

Jawapan: Seorang ahli tafsir al-Fakhr al-Razi dalam kitab tafsirnya dan Abu Hayyan al-Andalusi dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit:

الْمُرَادُ بِـ(مَن فِى السَّمَاءِ) الْمَلائِكَةُ

Maknanya: “Yang dimaksudkan dengan مَن فِى السَّمَاءِ (yang berada di langit) ialah para malaikat”.

Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat tersebut bukanlah bahawa Allah berada atau mendiami langit.

51. Apakah makna firman Allah ta^ala: وَالسَّمَاءَ بَنَيْنَاهَا بِاَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ [Surah al-Dharriyyat: 47]?

Jawapan: Ibn ^Abbas radiyaLlahu ^anhuma berkata:

( بِاَيْدٍ) أَيْ بِقُدْرَةٍ

Maknanya: “(yang maksudkan dengan) 7 بِاَيْدٍ ialah dengan kekuasaan”.

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan perkataan yad (يد ) dari segi bahasa Arab dalam konteks ayat di atas bukanlah anggota tangan kerana Allah Maha Suci dari sifat demikian (sifat beranggota).



[1] Persoalan bagaimana atau cara hanya layak diajukan tentang sifat makhluk kerana ia merujuk kepada suatu bentuk, pergerakan dan perubahan sifat. Oleh itu, Allah Maha Suci dari sebarang persoalan bagaimana kerana ia melibatkan sifat makhluk.

[2] Hadis al-Jariyah sebuah hadis yang mengandungi peristiwa pertanyaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada seorang jariyah (hamba perempuan) yang telah diriwayatkan dalam pelbagai lafaz oleh beberapa ulama hadis seperti al-Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim, Bab Tahrim al-Kalam fi al-Salah, al-Imam Abu Dawud dalam kitabnya Sunan Abi Dawud, Bab Tashmit al-^Atish dan Bab fi al-Raqabati`l-Mu'minah, al-Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta', Bab Ma Yajuz Mina`l-^Itq fi al-Riqab al-Wajibah, al-Imam al-Bayhaqi, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Hibban dan lain-lain lagi.

[3] Solat yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah solat sunat atau nafil bukannya solat fardu

[4] Meliputi sama ada setelah seseorang itu menyebut, mendengar atau menulis nama, gelaran dan kata ganti nama Baginda صلى الله عليه وسلم.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...